Bosan Dengan Kerja? Jom Kenali Sebab

Separuh daripada pekerja yang makan gaji tidak gembira terhadap kerja yang mereka lakukan. Banyak juga yang berhasrat untuk berhenti kerja dan menjadi usahawan disebabkan masalah tak suka dengan apa yang mereka lakukan.

Beza dengan dulu
Apakah orang tua dulu-dulu yang kerja kampung mengalami masalah yang sama?. Orang kampung dulu-dulu hidup berdikari dan lebih banyak menyediakan sendiri segala keperluan mereka. Dari makanan sehinggalah persediaan dapur untuk memasak disediakn sendiri.

Masa kecik-kecik dulu di kampung mak sediakn segala makanan. kuih muih sendiri. Nak makan apa saja kuih terpaksa buat sendiri dan biasanya buat banyak sedikit untuk dihadiahkan pada jiran. Kalau bernasib baik jiran akan balas dengan hidangan lain maka bertambahlah pilihan yang ada untuk dimakan.

Di kampung, apa saja kerja yang orang tua lakukan mereka kelihatan begitu asyik menghayati kerja mereka. Kerja-kerja terutamanya yang berseni akan dilakukan dengan penuh teliti. Terpancar rasa bahagia di wajah mereka.

Ibu buat kerja dapur, buat kuih muih, buak lauk dan segalanya dengan penuh teliti. Boleh lihat riak kepuasan pada wajah ibu bila melihat anak-anak serta sanak saudara menjamah hidangan yang dihasilkannya.

Kesimpulannya, tak pernah terdengar rungutan daripada orang tua atau kaum ibu yang duduk dikampung dan menyara kehidupan mereka dengan kerja-kerja kampung. Mereka tak pernah terlintas untuk tidak gembira dengan kerja mereka.

Istilah tak suka dan bosan dengan kerja hanya bermula sejak industri perkilangan menjadi rancak di negara kita. Istilah bosan dan tak suka dengan kerja juga semakin terdengar apabila kita mula mengejar apa yang dinamakan sebagai produktiviti.

Idea Adam Smith
Untuk meningkatkan penghasilan pembuatan, kita banyak mengambil idea Adam Smith yang menulis tentang kecekapan pada tahun 1776 dalam The Wealth of Nations.

Adam Smith menyarankan pecahan dan pembahagian kerja kepada beberapa proses yang kecil untuk menghasilkan sesuatu produk. Sebagai contoh dia memberikan proses kerja membuat pin yang dipecahkan dari peringkat memotong, membengkok, menajamkan, dan seterusnya satu demi satu sehingalah siap sebutir pin.

Hasil daripada pecahan kerja tersebut membuatkan jumlah pengeluaran sesuatu produk meningkat dengan begitu tinggi berbanding jika seorang buruh melakukan keseluruhan proses sendirian untuk menyiapkan sesuatu barang.

Idea Karl Marx
Berkenaan pecahan dan pengasingan kerja pula, Karl Marx tidak suka dengan idea pemecahan dan proses pengasingan kerja tersebut. Dia mengatakan manusia telah dirampas daripada mengenali identiti dan menghayati makna sumbangan kerjanya akibat proses itu.

Sebagai contoh dalam pembuatan pin di atas, apa maknanya bagi seorang pekerja yang kerjanya hanya sekadar membengkokkan sejengkal dawai saban hari. Bayangkan jika anda setiap hari selama 8 jam melakukan kerja membengkokkan dawai!, muka anda akan bertukar menjadi zombie setelah beberapa bulan…

Karl Marx mengatakan manusia mula dipisahkan daripada matlamat kerjanya. Dia dipisahkan daripada mengetahui keseluruhan proses kerjanya, kenapa dia melakukan kerjanya dan apakah hasil daripada usahanya.

Hasilnya adalah akan lahirnya manusia yang tidak gembira dan terasa kosong jiwa mereka dengan melakukan pekerjaan yang tidak bermakna.

Sebahagian besar kehidupan kita tidak dapat lari dari melakukan kerja. Apabila kerja yang dilakukan dalam hidup tidak ada makna, sudah tentu kehidupan juga berjangkit menjadi tidak bermakna. Hidup mula menjadi satu tekanan dan mengakibatkan masalah timbul dalam kesemua jurusan kehidupan.

Mana satu pilihan anda
Jika anda diberi dua pilihan untuk mencari makan sebagaimana berikut di bawah, mana satukah pilihan anda?

Tak perlu lakukan apa-apa. Semua keperluan makanan dan lain-lain untuk hidup anda disediakan dengan banyak dan anda hanya perlu duduk saja di rumah tak kemana-mana.
Anda perlu melakukan sedikit pekerjaan atau sumbangan sebelum diberikan segala keperluan yang anda perlukan bagi menjalani kehidupan seperrti makan dan lain-lain.

Secara logiknya tentu anda akan memilih pilihan yang pertama. Seorang yang bijak dan rasional dalam mendapatkan keperluan hidupnya tentu bersangka begitu.


Tetapi kajian menunjukkan sebaliknya. Sebagai manusia, kita akan lebih cenderung untuk memilih pilihan kedua. Ini kerana secara semula jadinya, manusia diwujudkan satu keperluan pada mencari dan menghayati makna hidup dengan berbuat sesuatu.
 

Kesungguhan melakukan sesuatu perkara dari mula hingga akhir dan melihat hasilnya siap untuk digunakan oleh diri sendiri dan juga orang lain melahirkan satu kepuasan yang dapat memberikan makna kepada hidup manusia.
 

Sebab itu jika kerja yang anda lakukan telah dibakul sampahkan saja oleh boss anda tanpa melihatnya amat mengecewakan. Sedangkan secara logiknya, apa nak perduli jika setiap bulan anda akan dibayar gaji? lantaklah jika boss tangsung tak perduli bagaimana hasil kerja anda.
 

The Upside of Irrationality
Idea kesemua di atas timbul hasil dari membaca buku The Upside of Irrationality. Kajian daripada buku tersebut membuktikan bahawa manusia akan meninggalkan kerjanya jika ia tidak membawa apa-apa makna walaupun sejumlah wang yang lumayan diberikan untuk itu.
 

Setelah terbaca buku tersebut maka barulah saya perasan kenapa selama ini ramai yang terasa kehipangan sesuatu dalam mencari makan. Kita hilang makna kerana kerja kita hanyalah sebahagian kecil daripada kerja utama dalam menghasilkan sesuatu.
 

Dan ianya semakin parah apabila majikan tidak ambil peduli untuk memberitahu kita apakah matlamat kerja yang kita lakukan dan bagaimanakah kerja tersebut membantu kehidupan serta memberi makna kepada orang lain.
 

Oleh itu pastikan anda berikan perhatian pada orang bawahan, pada isteri, pada anak-anak, pada sanak saudara, pada kawan-kawan dan lain-lain dengan menghargai segala kerja mereka. Dengan melakukan itu, anda sebenarnya membantu mereka menemui makna melakukan kerja dan makna kehidupan.

Masa Yang Sesuai Untuk Berhenti Kerja Dan Mula Berniaga

Menjadi usahawan lebih mudah jika kita tiada pilihan lain untuk menyara kehidupan selain dari berniaga. Antara situasi mudah untuk memulakan perniagaan adalah:

  • Berhenti sekolah dengan keputusan yang teruk. Samada tamat tingkatan lima dengan keputusan peperiksaan yang teruk atau berhenti awal dari sekolah atas apa saja alasan membuatkan kita tiada alasan munasabah daripada mencuba menjadi seorang usahawan. Ramai yang memilih untuk menjadi buruh kasar sedangkan jika mereka mula berniaga secara kecil-kecilan, mereka punyai peluang yang tidak terbatas untuk berjaya. Mula berniaga sejak awal dan muda membolehkan anda gagal banyak kali sebelum berjaya
  • Tamat pengajian tinggi dan tiada tawaran pekerjaan. Kebiasannya setelah selesai menuntut ilmu di Kolej atau Universiti, kita hanya fokus semata-mata untuk makan gaji sesuai dengan status kita seorang terpelajar dalam bidang tertentu. Ramai yang buang masa lebih daripada setahun menunggu tibanya tawaran pekerjaan. Ada yang mula kerja awal tapi sentiasa melompat dan melompat kerja tidak menentu. Jika sebaik sahaja selesai belajar, kita memulakan perniagaan peluang untuk berjaya lebih baik daripada golongan yang saya sebut di atas tadi. Elok buat keputusan untuk berniaga ketika tahun akhir pengajian.
  • Kena buang kerja. Samada secara sukarela atau secara terpaksa, kita sudah tiada lagi sumber pendapatan. Biasanya mereka yang pernah bekerja punyai rangkaian kawan-kawan yang agak baik. Mungkin kita juga mempunyai sedikit simpanan. Bagi yang mengambil skim VSS tentu ada sedikit pampasan. Semua itu boleh dijadikan modal untuk memulakan perniagaan. Mulakan dari kecil dan perlahan-lahan membesar.
  • Tamat perkhidmatan atau Pencen. Ramai yang tanam impian untuk mula berniaga pada ketika ini. Tapi saya lihat kebanyakannya terus pencen dan melayan kehidupan pencen dengan tidak melakukan apa-apa pekerjaan. Mereka lebih suka menjadi ahli sukarela membuat kebajikan daripada berniaga. Barangkali ini jalan lebih selamat jika anda sudah punyai simpanan yang mencukupi untuk kehidupan seterusnya.
Jika anda bukan dalam salah satu dari kategori di atas, ini bermakna anda merupakan seorang usahawan ataupun seorang yang sedang makan gaji. Samada makan gaji atau berniaga, tidak menjadi hal, kedua-duanya merupakan jalan menyara kehidupan. Teruskan berbuat begitu jika anda selesa dengannya dan rezki yang anda bawa pulang adalah halal.

Masalah timbul jika anda sedang makan gaji dan dalam masa yang sama cukup bercita-cita dan sangat teringin serta mengidam untuk berniaga. Orang yang begini biasanya sedang giat berniaga dan dalam masa yang sama makan gaji.


Jika dengan berbuat begitu anda tidak mengganggu prestasi kerja makan gaji tidak apa. Itu juga ok jika tidak ada masa yang sepatutnya diperuntukkan kepada majikan yang di gunakan untuk perniagaan sambilan. Yang pentingnya kita boleh terus berbuat begitu jika kesemua perkara yang diamanahkan oleh majikan pada kita dapat diselesaikan dengan baik.


Namun jika dengan menjadi peniaga sambilan anda curi masa kerja, prestasi serta kerja anda macam melepaskan batok ditangga, elok difikirkan semula tindakan makan gaji dan dalam masa yang sama berniaga. Anda WAJIB berhenti seandainya amanah dicurangi dan lebih parah lagi masa, peralatan, sumber mentah dan lain-lain seumpamanya diambil daripada majikan untuk kegiatan perniagaan anda. Itu namanya aktiviti HARAM.


Bagi yang sedang makan gaji yang cukup mengidam menjadi usahawan, masalah utama mereka adalah menunggu masa yang sesuai untuk berhenti dan berniaga. Berbagai-bagai halangan yang difikirkan dalam kepala yang menghentikan hasrat untuk letak jawatan dan berniaga.
Jika ditanya pada mereka, jawapan kenapa masih makan gaji? jawapan yang paling popular adalah “tunggu cukup modal”.


Perlu diingat modal perlu dicari. Kita boleh dapatkannya samada melalui wang simpanan, pinjam pada kawan serta sanak saudara, pinjam pada bank atau lain-lain seumpamanya. Kalau tunggu dan tunggu, modal tidak akan datang bergolek.


Sebenarnya masalah utama kita masih makan gaji dan tidak berniaga adalah tidak adanya keberanian. Kita jadikan alasan belum bersedia, belum pandai, belum ada duit dan modal, belum ada partner dan lain-lain bagi menutup ketakutan yang kita alami di dalam jiwa.


Dalam berniaga, tidak ada masa yang sesuai. Tidak wujud suasana ideal yang semuanya serba cukup. Sebab itu aktiviti berniaga dijalankan oleh usahawan. Manusia yang sentiasa berusaha merealisasikan cita-citanya dengan menggunakan apa saja yang ada pada dirinya serta sekelilingnya.
Jadi jika anda tanya saya bila masa yang sesuai untuk letak jawatan dan berniaga, jawapan saya adalah:

“SEKARANG”

Tapi ingat anda hanya boleh lakukan begitu seandainya sudah ada rancangan serta produk untuk berniaga. jangan buat kerja gila berhenti kerja dan baru mahu fikirkan idea nak berniaga apa.
Bagi mereka yang sedang makan gaji dan dalam masa yang sama ada perniagaan. Saya nasihatkan letaklah jawatan dan tumpukan pada perniagaan. Terlalu sukar untuk berjaya jika buat kerja dua benda sekali gus begitu. Akhirnya makan gaji tak ke mana, berniaga juga jadi satu masalah.